sallu alan nabi

sallu alan nabi

Hadis Nabi

Rasulullah SAW berpesan, “Bersegeralah kamu melakukan amalan soleh kerana akan datang kepada umatku di suatu masa, satu fitnah yang begitu besar yang datangnya seperti satu kepingan hitam di malam gelap gelita tak nampak”. Sahabat bertanya, “Apakah fitnah besar itu ya Rasullullah?”. “Fitnah itu adalah kamu akan lihat umatku di hari itu, di waktu itu, pada masa itu, pagi hari Islam, petang kafir. Petang Islam, pagi kafir semula”. Sahabat bertanya lagi, “Mengapa begitu ya Rasullullah?”. Rasullullah SAW menjawab, “sebab dia menjual agamanya dengan nilai dunia”.


Ayat Al Qur'an

A054

Sesungguhnya ini ialah pemberian Kami kepada kamu, pemberian yang tidak akan habis-habis; -

(Saad 38:54)

Ayat Al Qur'an


A020

"Dan sesungguhnya aku telah memohon perlindungan kepada Tuhanku dan Tuhan kamu, daripada kamu merejam (atau menyakiti) daku.

(Ad-Dukhaan 44:20)

Monday, December 24, 2012



Jangan bangga dengan hufaz, laksana kandungan al-Quran

Rizal Tahir,24 Dis 2012

(Para hufaz yang menerima sijil mereka)


KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengingatkan para hufaz tidak berbangga dengan ‘sijil’ bukti tamat menghafaz al-Quran, kerana ianya tidak ke mana andai hanya tahu membaca dan menghafaz sahaja.

Menurutnya, al-Quran bukan untuk dibaca sahaja, sebaliknya untuk difahami serta melaksanakan apa yang terkandung dalam al-Quran.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis graduasi tahfiz Yayasan Islam Kelantan (YIK) kali ke-3, di Putik, baru-baru ini.

Kata TG Nik Aziz, al-Quran jangan hanya dibaca, sebaliknya laksanakan apa yang terkandung di dalam al-Quran.

(Salah seorang hufaz menerima sijil dari TG Nik Aziz)

“Generasi hari ini bakal pelapis masa depan negara, ingat jangan sekali-kali membelakangkan sunnah dan al-Quran kerana ianya panduan untuk kita dan masyarakat seluruhnya,”ujarnya lagi.

Turut berucap pada majlis itu Pengarah Yik, Tengku Azmi Tengku Jaafar.

Seramai 247 orang pelajar tahfiz kelolaan Yik tamat hafaz al-Quran dan menerima sijil masing-masing melalui Tuan Guru dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Sempena majlis ini, pelajar Maahad Tahfiz Sains Al-Quran Bistanul Arifin, Muhammad Yusof Nazaruddin diumumkan tokoh tahfiz Yik tahun ini.

Hafiz terbaik sekolah, pelajar-pelajar dari MTAQ Pulai Chondong, MTS Tanah Merah Lelaki (L), MTS Tanah Merah (P), MTS Nurul Aman, MTS AlMuhammadi dan MTQ Asriah Banggol Chicha.

Al Quran tulisan tangan terbaik dimenangi Muhammad Fadzli Nasir pelajar dari MTQ Asriah Banggol Chicha.
Tetapi kadangkala ianya satu provokasi. Yahudi amat bijak mengadu domba.

Antara Israel (Yahudi) dengan Syiah tidak pernah ada masalah - Ariel Sharon
Posted on Sunday, December 23 @ 14:11:31 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Juragan

Oleh: detikislam

"Bekas Perdana Menteri Israel Ariel Sharon, dalam salah satu bukunya menyatakan dengan tegas bahawa, "Antara Israel (Yahudi) dengan Syiah tidak pernah ada masalah. Justeru musuh kami yang hakiki adalah sel-sel organisasi 'pengganas' Palestin, dan orang-orang Syria yang banyak membantu organisai-organisasi 'pengganas' ini! "


Dalam buku, Sharon mengeluarkan sebuah buku yang berjudul "Warrior", dia menulis bahawa Syiah mungkin sudah seperti saudara sendiri bagi Israel. Ap alagi dalam judul buku disebutkan "Aku akan bercakap tentang orang-orang yang aku cintai."

Sharon berkhidmat sebagai Perdana Menteri Israel dari 7 Mac 2001 hingga 14 April 2006. Kuasanya sebagai perdana menteri kemudian digantikan oleh Perdana Menteri (sementara) Ehud Olmert kerana terkena serangan stroke pada Januari 2006. Dia mengalami koma dalam waktu yang lama sehingga tidak mungkin untuk kembali menjalankan tugas-tugas sebagai pemimpin kerajaan.

Dia lahir di Kfar Malal (Mandat British Palestin) dan tampil sebagai pemimpin politik dan tentera berbangsa Israel. Sharon juga pernah menjadi pemimpin Likud, parti terbesar dalam gabungan kerajaan dalam parlimen Israel, Knesset, sehingga dia mengundurkan diri dari parti tersebut pada 21 November 2005. Dia kemudian membentuk parti baru bernama Kadima.


Selama tiga puluh tahun Sharon berkhidmat sebagai anggota Angkatan Bersenjata Israel. Pangkat tertingginya ialah Mejar Jeneral. Dia menjadi terkenal di Israel kerana penglibatannya dalam Perang Enam Hari pada tahun 1967 dan Perang Yom Kippur pada tahun 1973.

Ariel Sharon juga bertanggung jawab dalam tragedi pembunuhan Qibya pada 13 Oktober 1953 di mana ketika itu 96 orang Palestin dibunuh oleh Unit 101 yang dipimpinnya dan pembunuhan Sabra dan Shatila di Lebanon pada 1982 yang mengakibatkan antara 3000 hingga 3500 orang terbunuh, sehingga dia digelar sebagai 'Tukang sembelih dari Beirut '.
Tetapi kadangkala ianya satu provokasi. Yahudi amat bijak mengadu domba.

Friday, December 21, 2012



Jangan dibakar jambatan sebelum menyeberang

Aspan Alias,19 Dis 2012
Pilihan raya kali ini adalah pilihan raya yang paling sengit bagi BN dan paling hampir kepada kuasa bagi Pakatan Rakyat. Keadaan graf kemajuan kedua belah pihak sentiasa berubah setiap waktu dan masa. Dalam satu waktu BN mendahului sedikit dan pada waktu yang lain pula Pakatan Rakyat yang mendahulu dari sokongan rakyat.

Bagi saya secara jujur, dan realistik pada hari ini keadaan memerlukan kedua-dua belah pihak berusaha keras untuk mendapatkan undi-undi di atas pagar yang agak besar dan itulah pandangan saya mengikut keadaan sekarang ini. Adalah penting bagi kedua-dua belah pihak memaparkan perjuangan yang betul dan benar. Jangan sekali-kali ada pihak yang melakukan perkara yang boleh menjejaskan sokongan dalam waktu yang kritikal ini.

Rakyat terutamanya pengundi-pengundi di atas pagar sedang menumpukan perhatian terhadap janji-janji masing-masing. Jika kedapatan janji-janji yang tidak mungkin terlaksana, kerana permainan politik peribadi, pihak itu akan hilang sokongan dari gulungan ini. Janji-janji kedua-dua belah pihak adalah dalam perhatian rapi pengundi.

Bagi BN isu-isu besar yang mereka hadapi sudah pasti menjejaskan prestasi mereka. Itulah sebabnya transformasi yang di janjikan BN itu ialah untuk mempastikan yang isu rasuah yang sudah menjadi ‘stigma’ kepada BN itu wajar di hapuskan serta merta. Tetapi untuk menghilangkan ‘stigma’ itu, bagi BN dan UMNO wajib memperlihatkan kepimpinan baru dalam parti itu yang tidak melibatkan mana-mana pemimpin atau individu yang ada di dalam MKT UMNO dan Jemaah Menteri sekarang ini.

Pimpinan BN yang ada tidak mempunyai kredibiliti untuk menunaikan janji-janji bagi memperbaiki keadaan ini kerana tidak mungkin kumpulan yang melakukan rasuah itu akan berkemampuan memperbaiki keadaan rasuah yang mereka lakukan. Dalam sekelip mata ini UMNO wajar menukar imej baik dengan menukar barisan pimpinan yang baru sebelum pilihanraya yang akan datang ini.

Bagi Pakatan Rakyat yang sedang merasakan sedikit nikmat kuasa yang rakyat akan diperhatikan ialah sama ada janji-janji yang menjadi umpan untuk rakyat memberikan sokongan itu betul-betul terlaksana. Bagi PAS tidak nampak apa-apa yang bermasalah kerana PAS merupakan parti yang paling berdisiplin dan oleh kerana ia berlandaskan sedikit sebanyak kepada Islam dan agama itu kita terlihat ia sudah menunjukkan dan membuktikan parti itu telah berjaya mewujudkan kepimpinan yang telah pun terbukti kesahihan dalam penepatan janji-janji selama ini.

Bagi DAP, parti ini telah berjanji untuk melaksanakan pentadbiran yang baik dan terbukti wujud di Pulau Pinang. Janji-janji parti ini untuk menonjolkan calon-calon Melayu sedang menjadi perhatian ramai khusus dari pengundi Melayu di seluruh negara. Jika janji ini tidak di tepati ia akan pasti menjejaskan keyakinan sebahagian rakyat terutamanya dari gulungan yang di atas pagar. Jika janji untuk memaparkan calon-calon Melayu ini tidak terlaksana maka itu akan menjadi tanda awal yang DAP akan tetap dengan persepsi rakyat sebagi sebuah parti yang rasis  untuk kaum Cina semata-mata.

‘Convention’ DAP di Pulau Pinang minggu lepas juga telah membibitkan perasaan sedikit kurang senang setengah pihak, bukan sahaja dikalangan kaum Melayu tetapi juga dikalangan kaum India. Tetapi itulah demokrasi. Jika yang tidak mendapat keyakinan perwakilan maka tidak adalah yang menang di dalam pertandingan seperti itu.

Tetapi seperti yang di sebut oleh perwakilan Sekinchan yang mana sudah ada tanda-tanda DAP telah mula di resapi oleh elemen politik wang walaupun belum jelas di lihat. Ramai yang telah memberikan komen dalam senyap-senyap yang mengatakan nampaknya DAP juga sudah mula terasa nikmat kuasa dan di harap apa yang di sebut oleh perwakilan itu tidak benar.

PKR pula, seperti DAP dan PAS telah berjaya menunjukkan prestasi kepimpinan yang jauh lebih bersih dari BN di Selangor dan kini yang perlu bagi kerajaan PKR Selangor untuk terus mentadbir dengan baik seperti yang telah terekod selama empat tahun lebih memerintah kerajaan Negeri Selangor itu.

Pendeknya jika dilakukan pilihanraya hari ini atau esok, mana-mana pihak yang melakukan kesilapan walaupun sedikit, pihak itu akan menghadapi kekalahan. Oleh itu kedua-dua pihak nampaknya terpaksa berhadapan dengan situasi yang mesti berhati-hati kerana masing-masing sudah tidak ada ruang untuk melakukan kesilapan lagi.

Jika mana-mana pihak melakukan kesilapan sekarang ini masa sudah terlalu suntuk untuk memperbetulkannya. Dalam keadaan sekarang kesilapan tambahan dari pihak BN akan mengakibatkan kehilangan kuasa.  Sebaliknya jika Pakatan Rakyat melakukan kesilapan dengan menunjukkan sikap terlalu dahagakan kuasa juga akan mengakibatkan niat untuk ke Putrajaya itu terbengkalai sehingga pilihanraya yang akan datang.

Ingat, mana-mana pihak yang melakukan kesilapan akan menerima padahnya. Kita mesti ingat acapkali terjadi makanan yang sudah hampir masuk ke dalam mulut pun akan terlepas jika rakyat terlihat sikap tamak haloba dan politik peribadi yang keterlaluan.

Kepada yang sedang terlalu takut kehilangan kuasa yang ada sekarang jangan bercakap besar dengan memperlekehkan pihak lain. Kepada pihak yang ingin mengambil alih kuasa pula jangan tunjukkan sangat keghairahan yang keterlaluan untuk mendapatkan kuasa itu kerana ia akan memakan diri masing-masing. Hidung biar terletak di tempatnya, jangan di letak di dahi.  Cara kita menunggu kejayaan untuk mendapatkan kuasa itu akan mudah di baca dan menjadi pertimbangan pihak yang di atas pagar untuk menentukan sikap mereka di dalam peti undi nanti.

Sebenarnya rakyat benar-benar mahu merasakan perubahan nyata dan mereka akan kecewa jika mereka masih mengalami keadaan dan situasi yang sama setelah mereka mengalih dan menganjak kuasa itu di dalam pilihanraya nanti. Sekali rakyat yang mengharap rasa tertipu, ia akan mengambil masa yang panjang untuk memulihkan keyakinan mereka.

Jangan buangkan air dalam tempayan semata-mata kerana terdengar bunyi guruh dilangit. Satu lagi perbidalan yang sangat popular dalam politik negara ialah, ‘jangan membakar jambatan sebelum menyeberang’. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/
Mohon keizinan siar.

Menangislah kerana takut Allah

Detik Islam,03 Dis 2012
Mengapa kadang-kadang kita menangis, dan siapa yang menetapkan fitrah (naluri) ini kepada kita yakni fitrah menangis? Seorang bayi sejak lahir ke dunia ini kita melihatnya menangis dan seseorang yang rapat dengan kita juga menangis. Maka menangis adalah fitrah Allah ciptakan pada diri manusia, dan kebanyakan orang-orang jahil meyakini bahawa menangis tidak ada manfaatnya. Akan tetapi terdapat beberapa kajian untuk membuktikan kebalikan dari keyakinan orang-orang jahil tersebut.

Dalam al-Quran menyebutkan bahawa menangis adalah sifat yang baik namun dengan syarat bahawa menangis itu kerana rasa takut kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Beberapa pakar psikologi melontarkan satu idea "Perubatan Dengan Menangis"

Seperti dilaporkan dari laman Al-Sofwa, satu penyelidikan dilakukan oleh para penyelidik AS dan Belanda menemui kebaikan di sebalik menangis bahawa kebanyakan orang merasakan bertambah baiknya perasaan mereka setelah menangis dan pada saat yang sama, hanya satu orang dari 10 yang keadaanya adalah buruk selepas itu (selepas menangis ).

Ahli psikologi dari University of South Florida, AS dan Universiti Tilburg, Belanda mendapati bahawa orang yang menangis dan mengeluarkan air matanya merasakan bertambah baiknya perasaan mereka.

Sebaliknya, tercatat bahawa sekitar satu pertiga daripada 3,000 orang yang mengikuti kajian tersebut, perasaan mereka tidak baik selepas menangis. Hasil kajian ini diterbitkan dalam American Journal of Psychology - mengaitkan antara manfaat menangis dengan tempat dan waktu menangis tersebut. Kajian ini melihat bahawa menangis memberikan kesan menenangkan, seperti pernafasan yang menjadi lambat dan hal ini dapat mengurangkan kadar denyutan jantung. Para penyelidik menganggarkan bahawa hal inilah menyebabkan mengapa manusia mengingat perkara yang positif selepas menangis dan menghidari perasaan tegang.

Para penyelidik melakukan penyelidikan mengenai tangisan di makmal dan mereka mendapati bahawa kebanyakan hasilnya adalah perasaan yang buruk. Mereka merumuskan bahawa sebabnya adalah keadaan tegang, imaginasi dan pemantauan. Hal-hal demikian akan menimbulkan perasaan-perasaan negatif yang menghalang kebaikan yang positif berkaitan dengan menangis.

Kajian ilmiah ini menguatkan apa yang ada dalam kajian sebelum ini, tentang manfaat menangis yang dirasakan oleh para penyelidik di bidang psikologi. Namun para penyelidik tersebut tidak mengetahui cara menangis yang betul dan berkesan!

Menangis kadang-kadang boleh menjadi ubat untuk banyak penyakit, tetapi dengan syarat bahawa tangisan tersebut disebabkan rasa takut kepada Allah. Dan itulah yang dikhabarkan al-Quran, dengan firman-Nya ketika menceritakan tentang orang-orang beriman yang khusyuk 'yang hati mereka merasakan pengaruh dari firman Allah, apa reaksi mereka? Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman tentang mereka:

"Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk." (Surah al-Israa' :  ayat 109)

Lihatlah bagaimana penjelasan Ilahi ini mengaitkan antara menangis dengan khusyuk. Maka kedua-duanya adalah cara yang terbaik untuk mengubati penyakit mental.

Menangis disebabkan rasa takut kepada Allah menambah kekhusyukan dan ketakutan kepada Allah pada diri seorang yang beriman, dan membuatnya lupa kepada kesedihan, dan kebimbangan-kebimbangan lain.Mengapa hal ini terjadi? Orang yang dipengaruhi oleh firman Allah dan membayangkan kegerian hari kiamat serta mengingat kebesaran Sang Pencipta, nescaya akan dapat menghindari masalah dan kesedihan yang dihadapinya sehingga dia lupa akan masalahnya.

Ini adalah langkah pertama dalam proses menyelesaikan masalah apapun yang dihadapi iaitu dengan melihat masalah ini sebagai sesuatu yang remeh dan boleh diselesaikan sehingga dengan demikian dia akan mudah menyelesaikan masalah tersebut. Perkara ini telah ditegaskan oleh pakar psikologi dan program neuro-linguistic tentang penyelesaian masalah dan kesukarannya.

Oleh itu, Allah menyebutkan berkaitan "menangis" pada beberapa ayat di dalam al-Quran. Dia menjadikannya sebagai tempat untuk mendekatkan diri kepada Allah dan sebagai indikasi kejujuran seorang mukmin takutnya kepada Sang Pencipta, Yang Maha Berkuasa. Allah berfirman:

“Maka patutkah kamu merasa hairan terhadap keterangan-keterangan Al-Quran ini (sehingga kamu mengingkarinya)? Serta kamu tertawa (mengejek-ejeknya) dan kamu tidak mahu menangis (menyesali kesalahan kamu serta takutkan balasan buruk yang akan menimpa kamu)? Sedang kamu adalah orang-orang yang sombong angkuh, lagi yang melalaikan kewajipan? Oleh hal yang demikian, hendaklah kamu sujud kepada Allah (yang telah menurunkan Al-Quran itu) dan beribadatlah kamu kepada-Nya (dengan sepenuh-penuh tauhid).”(Surah An-Najm: ayat 59-62)

Maka dalam nas al-Quran ini, Allah memerintahkan kita untuk menangis kerana takut kepada-Nya dan agar kita menjauhi perkara sia-sia serta menjauhi banyak ketawa. Hal itu tidak menghalang kita daripada tersenyum yang juga tergolong sebagai ubat (untuk mengubati kesedihan dan masalah).

Sesungguhnya menangis,, khusyuk, dan doa adalah resipi yang bagus untuk mengubati ketegangan jiwa. Kita memohon kepada Allah agar menjadikan kita termasuk antara golongan yang Allah berfirman tentang mereka:

"... Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyuk kepada Kami. " (Surah al-Anbiyaa : ayat 90)


Oleh itu, perlunya kita pada zaman ini berdoa, khusyuk, dan tangisan yang disebabkan kerana rasa takut kepada Allah.

Semoga Allah melepaskan kesedihan kita dan memberikan kesabaran kepada kita kerana tidak ada pemberian daripada Allah yang lebih luas berbanding kesabaran sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

http://detikislam.blogspot.com


Memahami perjuangan gerakan Islam

Akademi Tarbiyah DPPM,07 Dis 2012
Perjuangan Islam bermaksud perihal umat Islam berusaha mempertahankan agamanya dan mengatasi pihak-pihak yang menentangnya. Oleh sebab perkataan juang itu sendiri bermaksud melawan, maka persoalan perjuangan Islam itu menggambarkan betapa unsur perlawanan dan persaingan adalah satu perkara rutin dan lumrah yang pasti ada di dalam Islam dah dihadapi oleh umat Islam tidak kira bila atau di mana mereka berada.

Mahu tidak mahu, setiap Muslim terpaksa menghadapi realiti perlawanan atau perjuangan sama ada dalam bentuk perseorangan atau perkumpulan, hebat atau hanya pertentangan kecil mengikut tahap keimanan seseorang. Demikianlah, sejak generasi Islam yang pertama pada zaman Rasulullah SAW lagi, umat Islam telah dihadapkan dengan suasana perjuangan yang penuh dengan tekanan dan ujian.

Perjuangan Dan Jihad

Di dalam bahasa Arab, perkataan yang paling sesuai dan sinonim dengan perjuangan adalah jihad. Jihad adalah kata terbitan (masdar) yang berasal dari perkataan "jahada" bererti bersungguh-sungguh dan tekun mengerjakan sesuatu. "Jahada" pula bererti memerah tenaga. Jahada al-'aduww, bererti memerangi musuh. Dari segi bahasa, jihad membawa pengertian berjuang berhabis-habisan untuk meningkatkan sesuatu matlamat. Al-Jihad menurut kebanyakan kamus bererti perang mempertahankan agama.

Dalam konteks Islam, pekerjaan yang paling bersungguh dan paling banyak berisiko adalah peperangan atau usaha menegakkan kalimah Allah di hadapan ancaman pemerintah yang zalim sebagaimana dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW yang berbunyi; Daripada Abu Sa'id al-Khudri katanya, Rasulullah SAW telah bersabda; "Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang benar di hadapan pemerintah yang zalim."

Oleh sebab itulah kebanyakan pentakrifan jihad pada zaman silam lebih merujuk kepada aspek peperangan. Contohnya, ulama Mazhab Syafie memberi definisi jihad sebagai perang ke atas orang kafir untuk memenangkan Islam.

Manakala ulama Mazhab Hanafi pula mendefinisikannya sebagai menyeru kepada agama yang sebenar dan memerangi orang yang tidak menerimanya, dengan harta dan nyawa.

Imam Hassan al-Banna pula menyatakan bahawa, "Islam mewajibkan jihad terhadap penganut-penganutnya bukanlah bertujuan untuk mencari permusuhan antara sesama manusia. Bukan pula untuk membuka jalan ke jurang tamak dan haloba kepada harta benda dunia secara merampas dengan kekerasan. Sebaliknya jihad itu diwajibkan semata-mata bertujuan untuk menjamin keamanan dan perdamaian dengan menunaikan perutusan agama yang diamanahkan Allah ke atas pundak tiap-tiap Muslim. Amanah menyampaikan risalah agama yang memberi petunjuk kepada manusa menuju ke arah pintu gerbang keadilan dan kebenaran."

Persoalan mengenai perjuangan dalam Islam juga merangkumi usaha umat Islam mengembangkan agama ini dengan menjalankan gerakan dakwah ke merata tempat di serata pelusuk dunia. Lalu, dalam usaha berdakwah itu, mereka menghadapi sekatan, ancaman dan cabaran yang datang dari kebanyakan orang- orang kafir serta sasaran dakwah yang tidak bersikap terbuka untuk mendengar dahulu seruan Islam.

Di dalam suasana ini, timbul perlawanan dan perjuangan menentang halangan, sekatan dan ancaman daripada musuh dakwah. Namun dalam konteks zaman mutakhir ini, perjuangan Islam khususnya dengan pengertian jihad, merangkumi aspek yang luas dengan tidak tertumpu kepada aspek peperangan bersenjata sahaja. Bahkan lebih banyak cenderung kepada persoalan memperbaiki umat dan mempertahankan hak-hak umat Islam sama ada melalui gerakan bersenjata, penentangan terhadap pemerintah yang tidak melaksanakan Islam dengan saluran pilihan raya, penulisan dan sebagainya.

Pokoknya, di dalam usaha tersebut pada sepanjang zaman, mereka akan menghadapi cabaran dan tentangan daripada musuh yang merupakan sebahagian daripada ujian Allah Taala. Cabaran dan tentangan tersebutlah yang melahirkan reaksi dalam bentuk perjuangan.

Akidah Asas Perjuangan

Islam meletakkan akidah sebagai asas utama dalam perjuangan. Bahkan merupakan rahsia kekuatan Islam sepanjang zaman. Dengan kata lain, Islam tidak menjadikan isu sebagai landasan utama kerana persoalan akidah adalah bersifat menyeluruh dan evergreen. Perjuangan yang berasaskan isu akan tamat dengan selesainya isu berkenaan. Sebaliknya Islam sentiasa mengetengahkan isu-isu yang berpaksi pada akidah untuk menjelaskan tuntutan sebenar tauhid. Kalimah syahadah La ilaha illa Allah yang menjadi tema tauhid itu sendiri adalah suatu cetusan revolusi atau perubahan besar-besaran di dalam jiwa dan kehidupan manusia kerana bererti pengakuan kepada kekuasaan menghukum dan memerintah tertinggi yang diserahkan hanya kepada Allah.

Ia adalah cetusan revolusi terhadap kuasa duniawi yang telah merampas suatu sifat khusus Tuhan yang utama iaitu menentukan perjalanan dan peraturan hidup manusia. Islam adalah revolusi terhadap kenyataan hidup yang bersandarkan kepada rampasan hak Tuhan itu dan juga merupakan suatu pukulan maut ke atas sebarang peraturan dan kekuasaan yang tidak diredhai Allah. Sebaliknya Islam menuntut manusia tunduk dan patuh kepada Allah selaras dengan pengertian kalimah Islam sendiri.

Syed Qutb menyifatkan Islam merupakan revolusi dalam kehidupan manusia. Dalam hubungan ini Syed Qutb menyatakan, "Seorang yang menganut Islam itu sebenarnya telah melucutkan daripada dirinya segala sesuatu dari zaman lampaunya pada alam jahiliyah. Dia merasakan ketika dia mula menganut Islam bahawa dia memulakan zaman baru dalam hidupnya; terpisah sejauh-jauhnya daripada hidupnya yang lampau di zaman jahiliyah. Sikapnya terhadap segala sesuatu yang berlaku di zaman jahiliyah dahulu ialah sikap seorang yang sangat berhati-hati dan berwaspada."

Ibn Taimiyah pula menyatakan apabila ucapan La ilaha illa Allah itu merupakan ucapan yang sebenar, jadilah orang yang mengucapkannya itu ahli-Nya dan tergolong dalam golongan-Nya (golongan yang berpartisipasi dengan manhaj al-Quran dan Sunnah), manakala orang yang mengingkarinya adalah musuh-Nya dan orang-orang yang dimurkai-Nya. Risalah Islam yang disebarkan melalui dakwah yang telah dimulakan oleh Para Nabi itu sendiri bersifat menyeru kepada Allah dan menentang taghut iaitu segala perkara atau sembahan yang bersifat merampas hak-hak ketuhanan sama ada dari sudut ibadah, undang-undang dan pemerintahan.

Dalam perkara ini, Allah Taala berfirman dalam Surah al-Nahl ayat 36 yang bermaksud:

"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka); Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut. Maka, antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu, mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat yang mendustakan Rasul-rasulnya."


Peranan utama Para Rasul yang diutuskan Allah adalah membawa petunjuk kepada hamba-Nya. Ia terdiri daripada dua perkara penting yang saling perlu-memerlukan dan menyempurnakan antara satu sama lain iaitu:

• Menyeru supaya beribadah dan mengabdikan diri hanya kepada Allah Yang Maha Esa.

• Menyeru supaya menjauhi taghut.

Jelas bahawa seruan Islam bukan setakat mengajak kepada kebaikan dengan menyembah Allah dan mentaati-Nya, tetapi dalam masa yang sama hendaklah menjauhi dan menentang taghut.

Matlamat Perjuangan Islam

Matlamat utama perjuangan Islam adalah untuk meninggikan kalimah Allah iaitu dengan terlaksananya syariat-Nya dan tunduknya segala fahaman, agama dan ajaran yang lain. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy'ari bahawa sesungguhnya seorang lelaki Badwi datang menemui Baginda Nabi SAW dan bertanya, "Wahai RasulAllah! Ada seseorang yang berperang untuk mendapatkan harta rampasan, ada juga seseorang yang berperang untuk membuktikan kejaguhannya. Oleh itu, siapakah di antara mereka yang berada di jalan Allah?"

Rasulullah S.A.W menjawab, "Barangsiapa yang berperang demi menegakkan kalimah Allah, maka beliaulah yang berada di jalan Allah." (Riwayat Muslim)


Allah Taala menuntut agar agama-Nya ini diletakkan mengatasi segala ajaran yang lain. Tuntutan ini jelas dinyatakan oleh Allah ketika menjelaskan tentang matlamat pengutusan Rasulullah SAW kepada manusia. Firman Allah Taala:

"Dialah (Allah) yang telah mengutus Rasul-Nya dengan hidayah petunjuk dan agama yang sebenar supaya dimenangkan-Nya atas segala agama walaupun dibenci oleh orang-orang musyrikin." (Surah al-Saff: ayat 9)


Imam Abu A'la Al-Maududi menyatakan, "Sebagaimana halnya dengan din (agama) lainnya, din Allah ini juga menuntut bahawa seluruh wewenang mesti diserahkan kepada-Nya semata-mata. Sedangkan semua din yang berlawanan dengannya mesti ditundukkan. Kalau tidak, ia akan dapat menuntut kepatuhan rakyat, kerana dalau din ini telah berlaku, maka tidak akan ada lagi din kerakyatan, kerajaan atau din kaum komunis."

Tuntutan ini tidak bererti bahawa Islam bertindak memaksa manusia memeluk Islam dan menghapuskan terus ajaran lain secara kekerasan kerana kekerasan dan paksaan tidak akan menghapuskan apa yang ada dalam hati dan fikiran manusia. Hal ini dijelaskan dalam konsep dan etika peperangan dalam Islam antaranya ialah larangan manakut-nakutkan orang ramai, melampau, membunuh wanita, kanak-kanak, orang tua yang sudah kabur pandangan, paderi-paderi, penjaga gereja, membakar pokok dan membunuh haiwan tanpa maslahah. Demikian juga difahami dari ayat ke 40 Surah al-Hajj:

"Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata; Tuhan kami ialah Allah. Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa."


Tuntutan itu sebenarnya adalah supaya Islam mendominasikan seluruh suasana dan kekuasaan pemerintahan agar manusia dapat melihat kehebatan dan keagungan Islam lalu mereka akan menerima Islam sama ada sebagai agama anutan atau sebagai pemerintahan yang adil dengan secara rela.

Firman Allah di dalam Surah at-Taubah, ayat 40:

"Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya; Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."


Tuntutan menzahirkan agama ini dijelaskan sehinggalah dalam soal peperangan. Tujuan peperangan dalam Islam sendiri adalah untuk memastikan bahawa Islam menjadi penentu dalam percaturan politik dan hidup manusia. Firman Allah:

"Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata. Kemudian jika mereka berhenti (dari kekufurannya dan gangguannya, nescaya mereka diberikan balasan yang baik) kerana sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa-apa yang mereka kerjakan." (Surah al-Anfal: ayat 39)

Perjuangan Tidak Bernoktah

Islam sentiasa menghadapi tentangan. Hasil daripada dua faktor di atas, lalu timbul pula reaksi dalam kalangan manusia yang enggan tunduk kepada seruan dakwah Islam. Reaksi itulah yang menyemarakkan lagi pertentangan antara Islam dengan musuh-musuhnya. Contoh yang paling ketara daripada sirah Rasulullah SAW ialah apabila Baginda berdakwah dengan orang ramai tentang Islam supaya mengucap syahadah La ilaha illa Allah, dua orang lelaki Badwi daripada kalangan yang hadir berkata, "Ini adalah perkara yang dibenci oleh raja-raja (pemerintah). Kerana inilah kamu akan diperangi oleh orang-orang Arab dan orang-orang 'ajam (bukan Arab)."

Peristiwa ini menggambarkan bahawa penentangan terhadap Islam adalah perkara yang sentiasa berlaku sebagaimana ia telah berlaku ke atas Para Nabi yang terdahulu. Namun faktor utama penentangan itu bukanlah kerana faktor batang tubuh individu atau golongan yang menyeru, tetapi kerana seruan Islam itu sendiri. Sebagaimana Rasulullah SAW sendiri ditentang bukan kerana peribadi Baginda yang sudah terkenal sebagai al-Amin dan pernah diberi kepercayaan menjadi hakim menyelesaikan masalah perletakan Hajar al-Aswad dalam peristiwa banjir besar di Makkah sebelum kenabian Baginda SAW.

Rasulullah SAW bersabda (bermaksud), "Jihad itu berterusan sejak aku dibangkitkan sehingga umatku yang terakhir membunuh Dajjal."

Konsep Kemenangan Islam Yang Hakiki

Kemenangan adalah satu perkara yang sentiasa menjadi matlamat dalam setiap perjuangan. Tidak kira perjuangan itu benar (haq) atau batil, pejuang itu Muslim atau tidak, masing-masing meletakkan harapan untuk mencapai kemenangan dengan berusaha untuk mengatasi yang lain. Islam mempunyai pandangannya yang tersendiri tentang kemenangan, berbeza dengan konsep kemenangan dalam agama atau ideologi serta fahaman lain. Di dalam al-Quran, Allah Taala menggunakan beberapa istilah kemenangan iaitu al-falah, al-fawz, al-nasr dan al-fath. Masing-masing mempunyai pengertian yang berbeza.

Kemenangan dengan istilah "al-falah" melambangkan kemenangan yang umum dan menyeluruh meliputi segala aspek individu, masyarakat umum, dunia dan akhirat. Kemenangan "al-fawz" pula digunakan secara lebih khusus kepada kemenangan atau kejayaan di akhirat. Manakala kemenangan "al-nasr" pula adalah kemenangan dalam jihad kerana membela agama Allah ke atas musuh-musuh-Nya. "Al fath" pula kejayaan yang diperoleh setelah melalui pelbagai jenis ujian seperti kekalahan, kelemahan, kesedihan dan kesengsaraan.

A. Kemenangan di Dunia

Di dalam al-Quran, golongan yang memperoleh kemenangan dunia (al-nasr) ini disebut sebagai ghalibun dan dzahirunGhalibun memberi maksud orang-orang yang mengalahkan, manakala dzahirun bermaksud orang yang menang.

Kemenangan di dunia disebut juga al-fath. Istilah al-fath digunakan oleh al-Quran dalam banyak ayat yang menyentuh tentang kemenangan besar. Contohnya, Allah Taala berfirman dalam Surah al-Fath ayat 1:

"Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata."


Ulama sejarah menggunakan istilah al-fath (pembukaan) di dalam setiap kejayan tentera Islam menawan sesuatu wilayah kerana mengambil pengajaran daripada al-Quran. Sifat penaklukan itu bukan pemaksaan dan penjajahan, tatapi ia adalah pendedahan manusia kepada Islam, pemerintahannya dan keadilannya. Kemenangan di dunia dapat dilihat dari beberapa aspek sebagaimana dinyatakan di dalam Surah al-Nur ayat 55:

"Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh daripada kalangan kamu (wahai Muhammad!) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (daripada ancaman musuh)."

Tiga bentuk kemenangan al-nasr yang dijanjikan itu adalah:

1. Mendapat kuasa pemerintahan di muka bumi dengan penguasaan pendukung-pendukung ke atas negara atau wilayah dan memegang tampuk pimpinan.

2. Menguatkan agama Islam dengan mengurniakannya kewibawaan untuk menentukan kehidupan manusia. Dengan kata lain, Islam menjadi asas kehidupan dan undang-undang dalam negara.

3. Mewujudkan keamanan dalam kehidupan setelah mereka berhadapan dengan pelbagai ancaman, rintangan dan risiko dalam mengharungi perjuangan.

B. Kemenangan Di Akhirat

Kemenangan di akhirat (al-fawz) adalah kemenangan yang sebenar. Walaupun pejuang-pejuang Islam itu kalah atau gugur di medan peperangan atau sebarang medan perjuangan lain, namun pada hakikatnya mereka telah beroleh kemenangan. Kemenangan inilah yang menjadi matlamat sebenar di dalam perjuangan Islam.

Allah Taala menawarkan kemenangan di dalam firman-Nya dalam Surah al-Saff ayat 10-12:

"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu daripada azab seksa yang tidak terperi sakitnya?"

"Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui."

"(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman (syurga) yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang sama ada dalam syurga 'Adn. Itulah kemenangan yang besar."


Berdasarkan ayat di atas, kemenangan di akhirat itu meliputi empat perkara:

1. Mendapat jaminan keselamatan dari azab yang pedih di akhirat.
2. Mendapat keampunan dari Allah Taala di atas segala dosa yang telah dilakukan.
3. Dimasukkah ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai yang mengalir.
4. Mendapat tempat tinggal yang baik khusus di yurga yang bernama 'Adn.

C. Kemenangan Adalah Janji Allah

Di dalam Islam, kemenangan adalah suatu yang pasti dan perlu diyakini oleh setiap Muslim. Mereka perlu mengimani masa hadapan yang baik dan gemilang untuk Islam. Hal ini kerana terdapat banyak nas al-Quran dan al-Hadis yang memberitakan bahawa Islam akan berjaya pada suatu hari kelak. Ayat 55 Surah al-Nur tadi dimulakan dengan lafaz - wa'ada - bermaksud "telah menjanjikan", iaitu kemenangan di dunia (al-nasr) telah dijanjikan oleh Allah sebagai satu kemestian kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh apabila tiba masanya.

Janji ini bukan sahaja dikhususkan buat umat Muhammad SAW, bahkan ia telah dinyatakan oleh Allah Taala sejak zaman Nabi Daud alaihissalam lagi. Firman Allah Taala dalam ayat ke-105 Surah al-Anbiya':

"Sesungguhnya telah kami wartakan dalam kitab Zabur selepas peringatan bahawa bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hambaku yang soleh."


Janji Allah Taala ini disebut pula dalam hadis Rasulullah SAW (maksudnya); Dari Tamim al-Dari katanya; Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Akan sampai urusan ini (agama Islam) ke setiap tempat yang sampai padanya malam dan siang. Dan Allah tidak akan membiarkan walau sebuah rumah di bandar dan perkampungan mahupun di pedalaman melainkan akan dimasukkan-Nya agama ini melalui kemuliaan orang yang mulia atau kehinaan orang yang hina. Dengan kemuliaan Allah memuliakan Islam dan dengan kehinaan Allah menghina kekufuran."

Tamim al-Dari menyatakan bahawa aku telah mengalami perkara itu dalam keluargaku, yang Islam mendapat kebaikan, kemuliaan dan kehebatan, manakala yang kafir mendapat kehinaan, merasa kerdil dan membayar jizyah.

Hadis ini menerangkan bahawa agama Islam akan berkembang seluas-luasnya ke setiap penjuru dunia. Janji Allah dan Rasul-Nya ini telah berlaku untuk peringkat pertamanya dengan berlakunya pembukaan negara Islam dan berkembangnya wilayah taklukan Islam sejak zaman Rasulullah SAW hingga kurun ke-14 Hijrah.

D. Kemenangan Adalah Pertolongan Allah

Persoalan pokok dan perkara penting yang membezakan konsep Islam terhadap kemenangan dengan konsep-konsep agama, ideologi dan fahaman lain adalah unsur pertolongan Allah, Islam amat menitik-beratkan hubung-kait manusia Islam dengan Tuhannya dalam perjuangan bahkan dalam setiap aspek kehidupan.

Para pendukung perjuangan Islam sentiasa diingatkan tentang peri pentingnya bergantung kepada Allah dan menyakini bahawa kemenangan hanya datang daripada Allah apabila dikehendakiNya. Allah Taala berfirman dalam ayat 160 Surah al-Imran :

"Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri."


Al-Nasr dalam ayat ini memberi pengertian pertolongan dan kemenangan di dalam perjuangan. Allah Taala mengaitkan persoalan kemenangan dalam ayat ini dengan pernyataan bahawa Allah Yang Maha Perkasa untuk menunjukkan bahawa Dia-lah yang berkuasa memberi kemenangan kepada orang-orang beriman sekalipun jumlah mereka sedikit dan kelengkapan mereka kurang berbanding dengan pihak lawan.

Manakala pernyataan bahawa Allah Maha Bijaksana menegaskan bahawa Dia-lah yang lebih mengetahui bilakah masa yang paling sesuai untuk mengurniakan kemenangan dan sebab apakah kemenangan itu tidak diberikan dalam semua keadaan.

Setiap pejuang Islam perlu menyakini bahawa kemenangan adalah kurniaan Allah dan bergantung kepada izin dan kehendak Allah. Bila-bila masa Dia (Allah) boleh mengurniakan kemenangan atau menarik nikmat itu dan memberikan kekuasaan kepada golongan lain. Justeru, para pejuang Islam perlu mengambil berat hakikat ini agar kemenangan Islam itu dibina atas dasar kefahaman dan penghayatan Islam dalam mengisi kemenangan.

Hakikat ini dinyatakan dalam firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 26 :

"Katakanlah (wahai Muhammad) Ya Allah! Engkau pemilik segala kekuasaan, Engkau memberi kekuasaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau mencabutnya daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Dan Engkau memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Padamu kekuasaan untuk mengurniakan kebaikan, sesungguhnya Engkaulah yang meliputi segala kekuatan."

Thursday, November 22, 2012


Perpaduan mesti berasaskan takwa


“Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu.” (Al-Maidah, 5: 3)

Daripada Abi Najih 'Irbadh bin Sariyah R.A. berkata, "Telah menasihati kami oleh Rasulullah SAW akan satu nasihat yang menggetarkan hati kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata, Ya Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berilah pesanan kepada kami." Lalu baginda pun bersabda, "Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa Ar-Rasyidin Al-Mahdiyin (khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baru (bid'ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid'ah itu adalah sesat." (Hadis hasan sahih riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi).

“Sesungguhnya kaum Al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka.  (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

“Hendaknya kamu bertakwa sebab ia adalah kumpulan segala kebaikan, dan hendaknya engkau berjihad kerana ia sikap kependetaan seorang muslim, dan hendaknya engkau selalu berzikir menyebut nama Allah kerana dia cahaya bagimu” . (Hadis riwayat  Ibnu Dharis dari Abu Said Al-Khudhari).

Imam al-Ghazali membuat kesimpulan bahawa taqwa itu ialah menjauhkan setiap apa yang ditakuti akan membawa mudarat kepada agama. Bandingannya ialah berpantang bagi orang yang mengidapi penyakit. Ada pun berpantang daripada melakukan perkara-perkara yang membawa kerosakkan kepada agama juga merupakan perkara yang dianggap "bertakwa". Atas ingatan inilah, kita perlu menjauhi segala unsur-unsur yang boleh merosak dan melemahkan agama Islam sekiranya kita ingin menjadi Muslim yang bertakwa.

Kemenangan tekad perjuangan rakyat Gaza

Harakahdaily,22 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyambut dan mengalu-alukan pengumuman genjatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza yang dikatakan dikuatkuasakan pada 19:00 GMT Rabu 21 November 2012.

“Ini adalah kemenangan kepada daya tahan dan tekad perjuangan rakyat Gaza.

“Kami kagum dan menyatakan sokongan penuh kami kepada kepimpinan Ismail Haniyeh Perdana Menteri Gaza yang tidak berganjak bersama rakyat Gaza menghadapi serangan ganas tentera Zionis Israel yang telah membunuh lebih seratus rakyat awam Gaza,” ujar Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Kenyataan penuh beliau sebagaimana di bawah.

Majlis Perindingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyambut dan mengalu-alukan pengumuman genjatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza yang dikatakan dikuatkuasakan pada 19:00 GMT Rabu 21 November 2012.

Ini adalah kemenangan kepada daya tahan dan tekad perjuangan rakyat Gaza. Kami kagum dan menyatakan sokongan penuh kami kepada kepimpinan Ismail Haniyeh Perdana Menteri Gaza yang tidak berganjak bersama rakyat Gaza menghadapi serangan ganas tentera Zionis Israel yang telah membunuh lebih seratus rakyat awam Gaza.
Kami menyatakan sokongan kepada perjanjian genjatan senjata namun mengutuk penolakan Israel untuk menarik balik sekatan yang dikenakan ke atas Gaza. Isu sekatan adalah isu kunci untuk mendapatkan genjatan senjata dalam jangka panjang dan untuk memulihkan Gaza dari kemusnahan yang dideritai rakyat Gaza.

Kami kesal dan mengutuk serangan yang berterusan yang dilakukan oleh tentera Israel pada hari ke lapan walaupun usaha diplomatik sedang dijalankan untuk bersetuju terhadap genjatan senjata.

Ini menunujukkan bahawa Israel sebenarnya tidak mahu genjatan senjata dicapai. Dalam serangan itu lebih 12 orang awam terbunuh di Gaza yang meningkatkan bilangan yang terbunuh di Gaza seramai 150 orang sejak keganasan Israel pada 14 November.

Agenda genosid yang jelas oleh Israel dapat dilihat bila operasi tenteranya bukan sahaja membunuh rakyat awam tetapi juga infrastruktur awam di Gaza.

Dunia tidak boleh memejam mata terhadap jenayah Israel ini.

Kami kecewa terhadap pernyataan Setiausaha Negara AS Hillary Clinton yang menyatakan  heartfelt concern for innocent lives lost yang telah berlaku dikedua belah pihak sedangkan dunia dan beliau tahu betapa fakta yang berlaku ialah Gaza telah menanggung kemusnahan dan kehilangan nyawa yang jauh lebih tinggi.

Serangan yang kononnya dikatakan "serangan tepat" oleh Israel adalah suatu penghinaan terhadap penyaksiaan jutaan manusia di seluruh dunia yang melihat operasi tentera Israel melancarkan roket secara rambang ke Gaza termasuk di kawasan perumahan awam.

Kami hormati dan menyokong kepimpinan President Mesir Dr Mohammad Morsi yang teguh pendiriannya terhadap keganasan Israel. Pernyataannya yang tegas dan membenarkan sempadan Rafah dibuka untuk membolehkan bantuan di hantar ke Gaza dan mereka yang cedera dibawa keluar untuk mendapat rawatan di Mesir adalah petanda yang sangat memberangsangkan.

Malah tindakan beliau untuk menghantar Perdana Menterinya ke Gaza ketika serangan memuncak adalah sangat mengkagumkan. Ini adalah tindakan politik yang bersungguh dari seorang pemimpin Arab untuk membantu Gaza.

Kepimpinannya amat menyerlah untuk memberi pengharapan bagi membebaskan Gaza dari sekatan yang dikenakan oleh Israel dan akan menjadi titik mula menyelesaikan perjuangan hak Palestin dalam jangka panjang.

Syarat untuk mendapat penyelesaian jangka panjang yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu hanya satu lakonan bagi Israel melancarkan pencerobohan ke atas Gaza. Memusnahkan Hamas akan membina laluan bagi Israel merampas Gaza menjadi wilayah Israel.

Tuesday, October 30, 2012

Gambaran kaabah 

Sambil membelek-belek Al qur annul karim. Miracle the refference ms 116. terjumpa satu hadis yang mengesahkan ayat qur an surah ke 3 Ali imran ayat 72. Sabuah hadis.
HR Abu Hurairah, Bahawa Nabi bersabda " Jika kamu sekelian mendengar suara kokok ayam, maka mohonlah kurnia dari Allah kerana sesungguhnya binatang tersebut telah melihat malaikat dan jika kamu mendengar ringkekan kaldai maka mohonlah perlindungan kepada Allah dari godaan syaitan kerana binatang tersebut telah melihat syaitan ( Muslim 4908)

Thursday, October 25, 2012

Kerja-kerja penggantian kelambu kaabah.







Wednesday, October 24, 2012

Makkah jam 9 pagi tadi.

Sahabat saya Hj Razman  bersama Tok Guru Dato Nik Aziz

Monday, October 15, 2012


Kelebihan 10 hari awal bulan Zulhijjah

Dr Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman,11 Okt 2012
Antara kelebihan dan kurniaan Allah untuk hamba-Nya ialah dijadikan bagi mereka beberapa musim untuk memperbanyakkan amal ibadat dengan dijanjikan pahala yang berganda banyaknya.

Salah satunya ialah 10 hari yang terawal pada bulan Zulhijjah.

Beberapa dalil daripada al-Quran dan Hadis telah menyebut tentang kelebihannya:

1. Firman Allah SWT maksudnya:

“Demi fajar dan malam yang sepuluh.” (Al-Fajr: 1-2)

Kata Ibnu Kathir:  “Yang dimaksudkan di sini ialah 10 malam yang pertama pada bulan Zulhijjah. Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lainnya.” HR: Imam Bukhari.

2. Daripada Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya;

“Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain daripada hari-hari yang 10 ini. Para sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah? Rasulullah bersabda: Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).” HR: Ahmad, At-Tirmizi.

3. Firman Allah SWT, maksudnya;

“Hendaklah kamu menyebut nama Allah pada hari-hari yang ditentukan.” (Surah Al-Haj: 28).

Kata Ibnu Abbas RA: Maksudnya ialah hari-hari yang 10 itu.

4. Dari Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya;

“Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah daripada hari-hari yang 10 ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”

5. Adalah Said bin Jubir RA (perawi yang meriwayatkan Hadis Ibnu Abbas di atas) apabila tiba hari yang tersebut beliau beribadat bersungguh-sungguh sedaya-upayanya. HR Ad-Darimi- Hasan.

6. Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar: Yang jelasnya, antara sebab keistimewaan 10 hari Zulhijjah ini ialah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu: Solat, puasa, sedekah dan haji. Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.

Amalan-amalan yang baik dilakukan pada hari-hari tersebut:

1. Solat. Disunatkan keluar cepat menuju ke tempat solat fardhu (berjemaah) dan memperbanyakkan solat sunat kerana itulah sebaik-baik amalan. Thauban RA berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): “Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah, kerana setiap kali kamu sujud kepada-Nya, Allah akan angkatkan darjatmu kepada-Nya dan dihapuskan kesalahanmu.” HR Muslim. - Ini umum untuk semua waktu.

2. Puasa. Kerana puasa juga termasuk di dalam amalan soleh. Daripada Hunaidah bin Khalid, daripada isterinya, daripada setengah isteri-isteri Rasulullah SAW berkata:“Rasulullah SAW berpuasa pada hari sembilan Zulhijjah, pada hari Asyura (10 Muharram) dan tiga hari pada setiap bulan.” HR Imam Ahmad, Abu Daud dan Nasa’ei.
Kata Imam An-Nawawi: Berpuasa pada hari-hari 10 adalah sunat yang sangat digalakkan.

3. Takbir, Tahlil dan Tahmid. Hal ini kerana, hadis Ibnu Umar yang di atas mengatakan:“Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (mengucapkan La-ilaha-illaLlah), bertakbir (mengucapkan Allahu-Akbar) dan bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah).”

Kata Imam Bukhari:  “Ibnu Umar dan Abu Hurairah RA menuju ke pasar pada hari-hari 10 dan bertakbir. Orang ramai yang mendengarnya kemudian turut bertakbir sama.”

Katanya lagi: “Ibnu Umar sewaktu berada di dalam khemahnya di Mina bertakbir, apabila orang ramai yang berada di masjid dan pasar mendengarnya, mereka turut bertakbir sama sehingga Mina riuh dengan suara takbir.”

Ibnu Umar RA bertakbir di Mina pada hari-hari tersebut selepas mengerjakan solat, pada waktu rehat, di dalam majlis dan di semua tempat. Maka sunat mengangkat suara sewaktu bertakbir berdasarkan perbuatan Sayyidina Umar, anaknya dan Abu Hurairah RA.

Adalah patut sekali para muslimin sekarang menghidupkan kembali sunnah yang telah dilupakan pada hari ini, sehinggakan orang-orang yang baik pun telah melupakannya, tidak seperti  orang-orang soleh yang terdahulu.

4. Puasa Pada Hari Arafah. Hendaklah berpuasa bagi sesiapa yang mampu pada hari Arafah (9 Zulhijjah) kerana amalan ini telah sabit daripada Rasulullah SAW. Baginda telah bersabda mengenai kelebihannya, maksudnya;

”Aku mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” HR Muslim.

PERINGATAN: Ini hanyalah disunatkan untuk orang yang tidak mengerjakan haji sahaja. Tetapi bagi jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah tidak disunatkan berpuasa kerana Rasulullah SAW tidak berpuasa sewaktu Baginda wukuf di Arafah iaitu pada tahun Baginda mengerjakan haji.

5. Kelebihan Hari Raya Korban (Yaum An-Nahr), 10 Zulhijjah.

Kebanyakan orang Islam telah lupa akan kelebihan hari ini. Kebesaran dan kelebihan perhimpunan umat Islam yang begitu ramai dari seluruh pelosok dunia. Sesetengah ulama berpendapat hari ini ialah hari yang paling afdhal dalam setahun sehingga melebihi hari Arafah.

Kata Ibnu Al-Qayyim: Sebaik-baik hari di sisi Allah ialah hari Nahr, iaitu hari Haji yang besar (Hajj Al-Akbar), seperti yang tersebut di dalam Sunan Abi Daud [No.1765], hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya hari yang paling besar di sisi Allah ialah hari Nahr, kemudian hari Qar”. (Hari Qar ialah hari yang para jamaah haji mabit (bermalam) di Mina iaitu hari ke-11 Zulhijjah).

Setengah ulama lain pula berpendapat hari Arafah lebih afdhal kerana berpuasa pada hari itu mengampunkan dua tahun kesalahan, tidak ada hari lain yang Allah merdekakan hamba-Nya lebih ramai daripada hari Arafah dan pada hari itu juga Allah SWT turun menghampiri hamba-Nya dan berbangga kepada malaikat dengan hamba-Nya yang berwukuf pada hari tersebut.

Yang lebih tepatnya ialah pendapat yang pertama (Hari Nahr), kerana hadis telah jelas menyebutkan kelebihannya dan tidak ada yang menyalahinya.

Samada hari Nahr atau hari Arafah yang lebih utama, hendaklah setiap muslim, yang bermukim atau yang mengerjakan haji mengambil peluang ini dengan sepenuhnya untuk mendapatkan kelebihan beribadat pada keduanya.

Cara-cara menyambut musim kebajikan:

1. Setiap muslim hendaklah menyambut kedatangan musim kebajikan umumnya dengan bertaubat yang sebenar-benarnya, meninggalkan segala dosa dan maksiat kerana dosalah yang menyekat manusia daripada kebaikan dan menjauhkannya daripada Tuhannya.

2. Menanam semangat dan azam yang kuat untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, nescaya Kami tunjukkan kepada mereka jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama mereka yang berbuat baik.” (Al-Ankabut: 69).


Perhatian kepada mereka yang ingin melakukan Ibadat korban.

Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: “Apabila masuk 10 terawal bulan Zulhijjah dan seseorang itu telah berniat untuk menunaikan ibadat korban, maka janganlah dia membuang (memotong) bulu dan kukunya.” HR Muslim.

Kata Imam Nawawi rhm: “Para ulama berbeza pendapat tentang hukum hadis ini, Imam Ahmad dan sebahagian ulama Syafei mengatakan haram perbuatan menghilangkan bulu tadi, tetapi Imam Syafie dan ulamanya yang lain mengatakan ia adalah makruh tanzih (iaitu makruh yang sangat besar dan hampir kepada haram).” Syarah Sahih Muslim.

Maka sebaik-baiknya bagi kita adalah mengelakkan perkara tersebut dan melakukan persediaan pada awalnya lagi untuk menghadapi larangan yang besar ini.

Akhirnya, sama-samalah kita berdoa semoga agar kita dipilih oleh Allah untuk termasuk ke dalam golongan mereka yang berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan.

http://www.abuanasmadani.com

Tahaluf siyasi PAS bersama Pakatan Rakyat

Abdul Hadi Awang,13 Okt 2012
Para ulama meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda :


لقد شهدت في دار عبد الله بن جدعان حلفا لو دعيت به في الاسلام لأجبت.
السيرة النبوية لابن كثير - (ج 1 / ص 258 ).

(Sesungguhnya aku pernah menyaksikan di rumah Abdullah bin Jud’aan satu persefahaman, sekiranya aku diajak bersamanya dalam Islam nescaya aku menerimanya).

Peristiwa bersejarah ini berlaku dimasa jahiliyah, ketika Rasulullah S.A.W. belum dilantik menjadi Rasul dalam usia dua puluhan. Apabila  bapa-bapa saudara baginda  membawanya menyertai pertemuan khusus dikalangan pemimpin utama Makkah. Rasulullah S.A.W. diizinkan menyertai perjumpaan khas itu dalam usia yang dianggap terlalu muda dan mentah, tetapi  diakui kebijaksanaanya yang luar biasa dan akhlaknya yang sangat mulia.

Peristiwa ini berlaku apabila seorang pengunjung Makkah daripada Qabilah Zubaid  Yaman yang berniaga, dizalimi oleh seorang bangsawan Makkah  bernama Al ‘Aas bin Waael. Pendatang yang dizalimi gagal mendapat pertolongan daripada rakan-rakan kenalannya, kerana kedudukan bangsawanan si zalim itu. Lalu mangsa kezaliman mendaki bukit Qubais berhampiran Kaabah melaungkan rayuan pertolongan dan mencabar bahawa kesucian Makkah dan keamanannya sudah tidak ada lagi.

Apabila seruannya didengari oleh para pemimpin Makkah yang sedang berkumpul, mereka merasa malu dan tercabar. Maka diadakan perjumpaan tergempar di rumah Abdullah bin Jud’aan dengan membuat keputusan satu muafakat yang dinamakan Half Al Fudul bagi menentang kezaliman dan membela sesiapa yang dizalimi.

Rasulullah S.A.W. bersabda  tersebut diatas dengan huraiannya : ( Kalaulah persefahaman ini diajak sekarang, ketika berada dalam  Islam pun nescaya aku menerima dan menyertainya).

Rasulullah S.A.W. juga bersabda secara umum:

الحكمة ضالة المؤمن فأنى وجدها وهو أحق بها .(ابن ماجه).

(Kebijaksanaan adalah barang tercicir kepunyaan seseorang yang beriman, maka di mana sahaja dia mendapatinya, dialah yang berhak memungutnya).

Di atas konsep inilah maka Rasulullah S.A.W. menerima persefahaman  tersebut , walaupun mereka itu daripada  kalangan pemimpin jahiliyah. Banyak perkara baik daripada amalan zaman jahiliyah dan kalangan yang berperikemanusiaan  daripada berbagai bangsa bukan Islam, seperti melayan utusan daripada negara luar  termasuk negara musuh, perlindungan keselamatan terhadap para diplomat, menghormati perjanjian antarabangsa dalam perkara yang adil dan sebagainya diterima oleh Islam. Rasulullah S.A.W. juga menyatakan sempadan dengan sabdanya :

المسلمون على شروطهم إلا شرطا حرم حلالا وأحل حراما (البخاري وغيره).

(Orang-orang Islam itu hendaklah bertanggungjawab diatas segala syarat yang mereka tetapkan, malainkan syarat yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram).

PAS adalah Parti Islam yang berpaksi dan berpandukan hukum tertinggi mengikut undang-undang tubuhnya (Perlembagaan). Pelaksanaannya dikawal oleh Majlis Syura Ulama, sehingga boleh membatalkan segala keputusan dan langkah yang bertentangan  dengan ajaran Islam. Maka PAS tidak boleh disamakan dengan UMNO.

Begitu juga hubangan PAS dengan DAP dan kalangan bukan Islam, sangat berbeza dengan hubungan diantara komponen Barisan Nasional yang tidak berdasar dan berkonsepkan Islam daripada Al Quran dan Sunnah, Ijma’ Ulama dan Qias.

Hubungan PAS dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat adalah hubungan Tahaluf  yang berpandukan nas tersebut diatas. Pakatan Rakyat adalah satu muafakat politik dalam konsep Tahaluf  Siyasi  yang diluluskan oleh Majlis Syura Ulama dalam skop hukum Feqah politik Islam.

Bekerjasama dalam titik persamaan menentang kezaliman politik dan pentadbiran negara  yang dialami oleh seluruh rakyat, seperti  amalan demokrasi yang tempang, pentadbiran negara yang tempang, pengurusan ekonomi yang penuh dengan penyelewengan, mesyarakat yang jahil dengan kelemahan pendidikan dan undang-undang yang tidak ada kehebatan, menyebabkan krisis moral yang parah dengan kebanjiran maksiat dan jenayah.

Umno yang mewakili Melayu Islam dalam Barisan Nasional mencalarkan Islam dan merosakkan imejnya. Sangat malang bagi sesiapa yang tidak mebezakan diantara Islam dan Melayu, seperti Arab yang tidak membezakannya dengan Islam. Islam pernah memperkasakan Arab dan Arab tumbang setelah menjadikan  Islam hanya kebanggaan sejarah tanpa amalan yang sempurna, walaupun memiliki kekayaan melempah ruah.

Begitulah maknanya, tegakkan Islam bersama PAS Melayu selamat dan semua kaum selamat. Tegakkan Melayu bersama UMNO, Islam hanya menjadi jenama yang ditampal pada kotaknya sahaja, tanpa isinya yang sebenar. Samalah seperti meletakkan ubat batuk pada kotak yang berjenamakan ubat  gatal.

Cukuplah menegakkan Islam ala UMNO yang bergantung dengan politik wang, pangkat dan tawaran mewah bersamanya tanpa jati diri yang sebenar. Hanya menjadi penyakit yang memakan diri laksana pemelihara  hantu  yang menjadikan tuannya, makan tidak kenyang walau pun makan sebanyak-sebanyaknya.

Melayu yang perkasa bersama UMNO, hanya sekadar bertempik menghunus keris taming sari sesama sendiri sehingga negeri dijajah. Merekalah baka yang menyerah diri kepada penjajah dahulu  dan mewarisi kemerdekaan  yang diletak diatas dulang  emas dan menerimanya dengan melalui hamparan permaidani dan taburan bunga. Sejarah tetap tidak boleh dibohongi bagaimana golongan Islam bermandi darah dan air mata menentang penjajah walau pun disembunyikan dibawah tikar yang hina.

PAS ditubuhkan menjadi mata rantai kumpulan Islam terdahulu yang pernah diharamkan silih berganti. PAS tetap Istiqamah dengan Islamnya menyatakan Islam adil terhadap semua manusia. Bukan hanya Arab dan Melayu sahaja atau hanya penganut Islam sahaja. Islam adalah rahmat Allah kepada seluruh alam. PAS boleh bekerjasama dengan semua pihak dan tegas berpegang kepada dasarnya dan boleh bertasamuh mengikut batas-batas Allah.

PAS pernah bersama UMNO di tahun 70-an dan  menubuhkan Barisan Nasional bersama UMNO dan rakan-rakannya. Penyertaannya  dengan keputusan Muktamar Khas  supaya teguh membawa mesej Islam secara tahaluf siyasi. Ketika bersama UMNO, PAS memecat sesiapa kalangan ahlinya, termasuk  ahli parlimennya  yang berjoget dan minum arak bersama UMNO.

Kemudian PAS dihalau keluar daripada Barisan Nasional tahun 1978 dan selepas itu kerajaan PAS Kelantan dijatuhkan dengan perisytiharan darurat yang diluluskan oleh UMNO dan rakan-rakannya melalui sidang khas parlimen dan pilihanraya khas  selepas itu. Lalu PAS bersendirian mara ke hadapan dengan cita-cita Islamnya. PAS adalah tersendiri, tidak sama dengan UMNO.

Maka PAS tidak perlu berkiblat ke arah UMNO dan berimam mengikut arah kiblatnya, kerana kiblat politiknya salah. Tegasnya PAS tidak menghalang ahli DAP minum arak, makan babi, berjudi dan sebagainya. Tetapi PAS memecat kalau ahlinya melakukan perkara yang sama.

PAS pernah mengadakan tahaluf siyasi dengan Parti Melayu Semangat-46 yang berpecah daripada UMNO. Parti Semangat-46 pula mengadakan kerjasama dengan DAP.

Parti ini tidak ada lagi dan gagasan yang dinamakan Angkatan Perpaduan Ummah yang menggabungkan PAS, Parti Melayu Semangat-46, Berjasa dan Hamim sudah tamat. Akhirnya PAS mengadakan  tahaluf  siyasi bersama Parti Keadilan Nasional yang juga berpecah daripada UMNO. Kemudian diiikuti pula tahaluf siyasi dengan DAP.

PAS mengucapkan terima kasih kepada UMNO dan media yang menjadi khadamnya,  kerana sangat bersimpati terhadap PAS, kerana kononnya bimbang  PAS akan menjadi parti melukut ditepi gantang.

Percayalah orang Melayu Islam tidak akan hilang jati dirinya bersama- sama dengan PAS selagi PAS tidak meminda kedudukan Islam sebagai dasar dalam perlembagaannnya, seperti Melayu bersama UMNO sehingga tidak bermaya di Singapura, Pulau Pinang  dan lain-lain.

Kaum lain dikalangan bukan Islam pula jangan takut bersama PAS, kerana kumpulan dan gerombolan yang mengapi-apikan semangat perkauman dan fanatik buta agama berada dalam UMNO atau bersekongkol bersama UMNO.

Di sepanjang kerjasama PAS dalam tahaluf siyasi tidak pernah rugi. Walau pun ditendang dan dipandang lekeh. Kerjesama PAS dalam BN di awal tahun 70-an dan sehingga akhirnya tidak rugi dengan kehilangan Kelantan setelah PAS ditendang keluar.

Pengaruh PAS dalam kerajaan berjaya masuk ke dalam jasad jentera kerajaan dan institusi pengajian dalam negara dan luar negara dan bertunjang sehingga hari ini dan mereka adalah bakal menjadi jentera pentadbiran PAS dalam Pakatan Rakyat sekiranya berjaya.

Kerjasama PAS bersama Angkatan perpaduan Ummah (Parti Melayu Semangat-46 dan DAP) tahun Sembilan puluhan berjaya menawan Kelantan sehingga hari ini. Kerjasama PAS dengan Barisan Alternatif dan kemudiannya Pakatan Rakyat berjaya menawan Terengganu pada tahun 1999 walaupun hanya satu penggal kerana ditumbangkan dengan zalim.

Tahun 2008 pula berjaya menawan lima negeri dan PAS memimpin tiga negeri iaitu Kelantan, Kedah dan Perak. Manakala Selangor dipimpin  Parti Keadilan Rakyat dan DAP memimpin Pulau Pinang. Walau pun dijatuhkan begitu rupa di Perak. Inilah sinario tahaluf siyasi yang dilaksanakan selama ini.

Kerjasama tahaluf siyasi mutakhir ini berjaya memecahkan tembok yang melindungi pandangan bukan Islam terhadap Islam. Usaha media berbagai bahasa termasuk bahasa Melayu beragama Islam bagi mengelirukan menemui kegagalan.

Sehingga akhirnya mendedahkan kepura-puraan UMNO berjuang menegakkan hukum Hudud  laksana ayam jantan kukuk berderai  pada hal ekornya bergelimang tahi sejak lebih lima puluh tahun. Sebenarnya UMNO lah penghalang besar kepada perlaksanaan Islam kerana telah berkuasa diperingkat negeri dan pusat.

Ketahuilah bahawa pengajian politik bukan sahaja tersurat dalam tulisan buku dan pengajian akademik di bilik kuliah. Terpenting  juga ialah ijtihad dengan Istiqamah ditengah medan perjuangan. PAS mempunyai semua aspek ini dengan beristiqamah kepada ajaran Islam yang menjadi akidah dan teras kepada semua amalannya.

Negeri Kelantan adalah satu-satunya negeri paling lama diperintah oleh PAS sejak tahun 1959 sehingga 1977 dan kali kedua 1990 sehingga kini adalah penyumbang besar kepada kejayaan Melayu Muslim dalam bidang pendidikan, perkhidamatan awam, keselamatan  dan ekonomi.

Diikuti pula Terengganu Tahun 1959 sehingga 1961 dan kali kedua 1999 sehingga 2004 dan Kedah 2008 sehingga kini. Apabila giliran PAS dikurniakan kemenangan di negeri-negeri ini maka secara automatik  menjadi sasaran UMNO bagi melemah dan menjatuhkannya diatas nama Melayu dan Islam. Paling malang menggunakan kedudukannya menguasai kerajaan pusat dan melanggar konsep demokrasi dan federalisma.

Mengepung media dan menyusahkan pentadbiran dan kewangan negeri-negeri ini, sehinggalah merampas royalti petroleum di Terengganu dan menafikan hak Kelantan. Namun perkara ini  tidak pernah dilakukan kepada Singapura ketika dalam Malaysia, Pulau Pinang di bawah Parti Gerakan sebelum BN dan Sabah dibawah PBS. Inilah hakikat UMNO dengan Melayu dan Islam anutannya.

Kepada semua pihak yang bersimpati dengan PAS, saya tegaskan, percayalah kepada kami dengan semua pengalaman yang  tersebut dan hilangkan khurafat beriman kepada UMNO parti Maha Esa.

Kepada ahli dan penyokong PAS saya nasihatkan supaya merujuk kepada sumber ilmu Islam yang ada dalam PAS, bukannya belajar melalui media yang bersukan dengan Islam dan berniaga dengan politik. PAS tetap berpegang bahawa politik adalah amanah terbesar daripada Allah. Bahagialah mereka yang menunaikannya dengan istiqamah dan celakalah mereka yang mengkhinatinya. Pikul amanah ini secara berjamaah jangan berseorang diri dan memencilkan diri.

Pesanan Rasulullah S.A.W.  “sesiapa yang memencilkan  diri daripada jamaah  akan ditawan syaitan, laksana serigala yang menawan kambing yang terpencil daripada kawanannya.” Maka amat bodoh kalau ditipu oleh syaitan yang dikenali.

*Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS

DAA9386

DAA9386

RUMAH IPOH

RUMAH IPOH

8288

8288