- MAR 27, 2014
- DR RIDUAN MOHD NOR
Ia seakan berita basi dan tidak sensasi, apatah lagi mengetuk pintu hati pemerintah negara Islam untuk sama-sama bangkit melenting dengan keputusan mahkamah rimba Mesir.
Hanya rakyat di negara masing-masing yang bangun berdemonstrasi, berarak memberi bantahan tanda kemarahan umat yang tidak terungkapkan.
Hanya seorang pemimpin yang bangun mengkritik Mesir dan dunia, dan beliau adalah Recep Tayyip Erdogan, Perdana Menteri Turki.
Lihatlah betapa beraninya beliau berucap di hadapan rakyatnya tanpa mengendahkan risiko dan pandangan Barat, khususnya Amerika Syarikat dan Israel yang sentiasa mengintai musuh-musuh mereka untuk diratah selepas ini.
Sebelum ini beliau juga yang lantang bersuara membela umat Islam yang dibunuh di Syria dan Semenanjung Gaza.
Ketika pemimpin Islam dunia sibuk dibuai kesenangan dan lena dengan dunia masing-masing, Erdogan bagun membela mangsa yang dizalimi.
Seharusnya pemimpin Islam dunia merasa malu dengan keberanian Erdogan menyuarakan pembelaannya.
Sebelum ini, apabila pemimpin Jamiat El-Islamiy Bangladesh dihukum mati, tidak ada seorang pun pemimpin negara Islam menentang hukuman ini.
Sekarang berlaku pada pemimpin IM, dan selepas ini berlaku pula terhadap mana-mana pemimpin Islam di mana-mana negara, mungkin juga nada sepi dan kaku yang sama dimainkan tanpa sebarang tindakan.
Dan hanya Erdogan sebagai pemimpin tunggal negara Islam yang mewakili pemimpin dunia Islam bersuara membela mangsa dizalimi, seolah-olah hanya Erdogan seorang pemimpin negara Islam di dunia ketika ini.
Saya juga merasa sedih kerana pemimpin Malaysia tidak merasa terpanggil untuk turut prihatin menangisi kematian demokrasi di Mesir.
Wisma Putra dan Kementerian Luar Negara memandang sepi isu ini, seakan-akan ia tiada kena mengena dengan umat Islam, dan apa yang berlaku di Mesir adalah urusan dalaman mereka justeru Malaysia tidak akan mencampurinya.
Saya melihat, jika inisiatif dilakukan oleh Malaysia, dengan Perdana Menteri berusaha mendapatkan sokongan negara Islam lainnya, serta tegas dengan prinsip sebagaimana Erdogan, selain menggunakan Pertubuhan Negara-Negara Persidangan Islam (OIC) dan lain-lainnya, pasti ia akan menjadi isu global yang hangat.
Rejim Abdul Fattah As Sisi pasti tidak akan merasa selamat dan berfikir dua kali untuk terus mengganas dibuminya.
Negara umat Islam adalah kuat dan utuh jika mereka bersatu yang tidak mungkin dapat dicabar oleh musuh utama, iaitu Israel dan Amerika Syarikat.
Semenanjung Gaza dan Palestin, Mesir dan Syria tidak mampu diusik jika semua pemimpin memainkan peranan utama menghalang kezaliman terus berlaku.
Namun umat Islam menyedari betapa lemahnya pemimpin negara ini serta negara-negara Islam dalam menangani isu seperti ini.
Beruntungnya Turki kerana melahirkan insan sehebat Recep Tayyip Erdogan yang mengharum namanya menjadi benteng mempertahankan umat di zaman ini.
No comments:
Post a Comment