Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
Ramadhan sudah memasuki fasa terakhir. Rasulullah SAW memberitahu bahawa ia adalah fasa pembebasan dari api neraka. Kewajipan menjauhkan diri dari api neraka sangatlah penting kerana ia adalah isu survival jangka masa panjang.
Syurga neraka bukan isu kecil. Ia adalah perkara yang sangat-sangat besar, kerana di sana adalah tempat semua umat manusia bermukim secara kekal abadi. Jika tempat tinggalnya di neraka, maka kecelakaan yang ditempuh itu lebih besar dari segala mala petaka dunia. Lebih besar dari petaka Aids dan Tsunami. Bahkan ledakan bom nuklear di Hiroshima dan Nagasaki tidak sehebat ledakan api neraka
Di zaman Rasululah SAW terdapat sahabat yang pengsan apabila teringatkan neraka. Di antara sebab Rasulullah SAW diutuskan ke dunia ialah untuk menyelamatkan umat manusia dari azab neraka.
Pelbagai forum antarabangsa diadakan untuk membincangkan ancaman pelapisan Ozon, ancaman pelupusan haiwan dan hidupan liar, ancaman pemusnahan hutan serta ancaman pelbagai wabak penyakit yang melanda dunia.
Namun hampir tidak pernah kita mendengar satu forum di peringkat antarabangsa di adakan untuk membincangkan perihal mengelak ancaman api neraka di akhirat. Setidak-tidaknya umat Islam yang beriman kepada Allah yang menganjurkan forum seumpama itu, tetapi tidak pernah berlaku.
Barangkali jika terdapat forum seumpama itu, maka dunia akan bergelak berguling melihatnya. Apa yang dibincangkan tak habis-habis ialah bagaimana menjaga survival ummah untuk hidup selamat dan selesa di atas dunia. Tak habis-habis isu duniawi. Di peringkat antarabangsa, dalam negara; Pusat mahupun Negeri saban hari berbicara mengenai survival dunia lebih banyak dari persoalan survival akhirat.
Umat Islam rata-rata tahu mengenai kelebihan bulan Ramadhan yang di dalamnya terhimpun segala ganjaran. Malangnya usaha yang dibuat untuk menuntut ganjarannya tidak setimpal dengan kebesaran dan keagungan Ramadhan.
Semua tahu perihal Lailatulqadar, iaitu malam di mana Allah menggandakan ibadat seseorang bersamaan 1000 bulan. Rasulullah SAW menggerakkan ahli keluarganya untuk beribadat (berqiyamullail) di 10 malam terakhir. Ulamak semacam bersepakat bahawa Lailatulqadar turun di sepuluh malam terakhir. Ganjarannya jauh lebih besar dari NCER, KHTP atau SULIHH. Jika projek untuk menawan Putrajaya yang belum pasti adalah projek besar, maka projek mendapatkan Lailatulqadar yang sudah pasti itu sepatutnya digembelengkan secara besar-besaran dn bersungguh-sungguh.
Di negara kita, tidak seperti di kebanyakan negara Arab, masjid ‘menjadi siang’ di sepuluh malam terakhir. Sejak lama, hanya beberapa masjid tertentu menganjurkan program memakmurkan sepuluh malam terakhir Ramadhan. PAS ada menganjurkan tetapi tidaklah menyeluruh.
Tahun lalu, di Kedah, program mengimarahkan sepuluh malam terakhir Ramadhan menjadi program penting di hampir setiap PAS kawasan. Mereka memilih masjid-masjid tertentu digilirkan bermula malam ke 21. Setiap malam penglibatan YB diwajibkan. Program qiyamulail dibimbing oleh Urusan Ulamak. Habis qiamulail orang ramai dihidangkan jamuan bersahur secara percuma.
Sepatutnya pada tahun ini program tersebut diangkat menjadi program rasmi Lajnah Tarbiyyah PAS supaya ianya dilaksanakan dengan lebih besar, tersusun dan menyeluruh. Malangnya, Lajnah Tarbiyyah agak perlahan.
Kerajaan negeri yang ditadbir PAS mampu melakukannya. Jadikan beribadah pada 10 malam terakhir sebagai program rasmi negeri. Program ini sangat mudah dilakukan kerana ianya langsung tidak mengganggu sensitiviti penganut agama lain. Ia juga tidak memerlukan majoriti dua pertiga ahli Dewan. Cabarannya cuma satu, iaitu memikirkan cara untuk memberi motivasi kepada umat Islam supaya sanggup untuk berenggang barang sejam dua dengan bantal busuk dan tilam di waktu awal pagi untuk bermunajat kepada Allah SWT. Cabaran itu pun tidaklah besar sangat kerana terbukti bahawa rakyat Malaysia mampu untuk ‘berqiyamullail’ hampir setiap malam sewaktu berlangsungnya piala dunia, sekalipun FIFA tidak memberi upah kepada mereka satu sen pun. Inikan pula amalan yang pasti mendapat ganjarannya. Jadikan semua surau dan masjid mengadakan program ibadah pada 10 malam terakhir seperti mana mereka menjayakan Solat Tarawih di hampir setiap surau dan masjid. Gerakkan ia sebagai satu budaya.
Galakkan juga program infak pada 10 malam terakhir. Bayangkan kalau kita menderma untuk perjuangan Islam RM10 pada malam Lailatulqadar itu maka sama seolah-olah kita menderma RM300,000. Berapa orang antara kita pernah meninfaq RM300 ribu untuk fisabilillah? Sebab itulah seluruh umat Islam perlu menganggap bahawa Lailatulqadar adalah perkara besar yang perlu diberi perhatian besar.
Dari aspek tarbiyah dan membina kekuatan dalaman perjuangan, program seperti ini sangatlah penting. Berjuang dalam jamaah Islam berbeza dengan perjuangan golongan sekular. Tiada imbuhan duniawi, sebaliknya banyak berkorban. Ia berbeza dengan berjuang dalam parti sekular Umno, boleh sapu kiri kanan. Oleh kerana dalam PAS menuntut pengorbanan, maka ‘kekuatan dalaman’ sangat perlu. Alang-alang tiada kekuatan seorang aktivis boleh tinggalkan perjuangan begitu sahaja.
Kekuatan dalaman ini boleh dikuatkan melalui tarbiyah kerohanian. Antara penjana kekuatannya ialah program-program qiyamullail seperti ini. Ibadat khusus serta amalan kerohanian seperti ini, banyak membantu datangnya pertolongan Allah. Penganalisis politik sekular menghuraikan pelbagai sebab mengapa Tok Guru Nik Aziz dan PAS mampu pertahankan Kelantan selama hampir 20 tahun. Tapi perkara yang mereka tidak sentuh dan tidak nampak ialah kekuatan kerohanian tok guru yang menjadikan qiyamulail amalan ‘wajib’ harian beliau. Puluhan ribu rakyat Kelantan boleh bermunajat dari dinihari hingga ke Subuh di stadium. Ini kekuatan yang tidak ada pada musuh.
Jadikanlah Ramadhan sebagai sebahagian dari aspek politik kita iaitu mencari kekuatan dalam perjuangan serta membuka peluang terhadap kesejahteraan rakyat yang beriman di negeri yang tiada penghujungnya
No comments:
Post a Comment