Sinar Harian pun nak jadi alat propaganda BN?
Mat Zain Mat Isa Sat Jun 06, 09 9:50:58 am MYT
TIDAK dapat dipastikan apakah motif sebenar di sebalik tindakan dua Penolong Editor Edisi Negeri akhbar Sinar Harian memilih untuk meriwayatkan cerita sejarah hidup ahli PAS dalam dua keluarannya minggu lalu.
Bagaimanapun olahan dan jalan cerita yang mereka paparkan menyebabkan ada pembaca yang mempersoalkan status kisah diriwayatkan mereka itu. Apakah watak-watak yang mereka nukilkan itu benar-benar wujud? Apakah ia bersandar kisah benar, separuh benar atau semata-mata dongeng yang direkacipta mereka?
Lebih jauh lagi, ada yang mula meragui niat sebenar mereka memanfaatkan ruangan sangat penting itu untuk menyajikan cerita yang sama sekali tidak menggambarkan keseluruhan imej PAS yang sebenar.
Berani mati
Dalam edisi Selasa (2 Jun) lalu, seorang Penolong Editor Edisi Selangor & KL membawakan kisah sahabat lamanya yang digelarnya 'Mat Min Kepioh Hijau'. Hamba Allah itu digambarkannya sebagai seorang penyokong berani mati yang sangat taksub kepada PAS.
Bagaimanapun dengan beberapa perubahan yang berlaku dalam kepimpinan PAS mutakhir ini, Mat Min Kepioh Hijau didakwanya telah luntur komitmennya kepada parti itu.
"Kepimpinan ulama semakin pudar ... Konsep Membangun Bersama Islam sudah makin tersimpang ... anasir luar sudah mula masuk dalam PAS dan perangai tak senonoh orang Umno sudah mula ditiru pemimpin dan ahli PAS," begitulah luahan kecewa yang didakwa penolong editor itu sebagai keluar dari mulut Mat Min Kepioh Hijau.
Pembaca dapat mengesan penolong editor itu mengambil kesempatan atas premis cerita Mat Min Kepioh Hijau itu untuk turut menyelitkan ulasan dan lontaran beliau sendiri mengenai perkembangan pemilihan pucuk pimpinan PAS yang sedang berlangsung.
Hujung jatuh ceritanya itu bagaikan menerangkan maksud beliau membawakan kisah tersebut. Dia memetik lagi kata-kata Mat Min Kepioh Hijau, "pasal PAS tu biarlah pemimpin-pemimpin aku fikirkan. Kalau puak-puak tu tak nak berubah ... biar aku yang 'berubah'."
Bagi kita, kata kunci yang mahu ditonjolkan dari seluruh cerita itu ialah orang 'sehijau' dan seasli Mat Min Kepioh Hijau itu pun akhirnya sanggup 'berubah' dari terus bersama PAS. Agak jelas bukan niat beliau?
Paparan agak bias itu bagaimana pun tidak seburuk yang dicoretkan rakan setugasnya beberapa hari kemudian. Dalam edisi Jumaat (5 Jun), seorang Penolong Editor Edisi Perak menyambung bicara rakannya tadi.
Mat Kafir, Mat Murtad
Beliau membawakan pula kisah seseorang yang didakwanya sebagai kawannya dalam sebuah parti Islam. Hamba Allah itu, katanya, pernah digelar Mat Islam. Apabila dia keluar parti Islam itu, namanya ditukar kepada Mat Kafir, kemudian digelar pula Mat Murtad.
Sepanjang pengkisahan itu, penolong editor itu tidak pun merujukkan parti dimaksudkannya sebagai "PAS". Namun tak perlu diperbodohkan minda pembaca, dengan beberapa istilah digunakannya, tindakan dan jalan cerita direkanya itu, semua insan waras akan mudah menyimpulkan beliau bermaksud menujukannya kepada PAS.
Contoh insiden dibawakannya amat meragukan. Jika pun ia benar-benar berlaku, kes sebegitu amat terpencil dan tidak sepatutnya dijadikan asas generalisasi terhadap imej dan kredibiliti PAS keseluruhannya.
Maaf cakap, bagi penulis coretan itu amat prejudis dan dipenuhi mala fide terhadap PAS. Agak terserlah niat jahat penolong editor itu yang menggambarkan seolah-olah PAS parti yang tidak langsung ambil pusing soal kebajikan ahli-ahlinya. PAS seolah-olah hanya tahu mengkafirkan orang dan hanya pandai melabelkan orang yang tidak menyokongnya sebagai murtad.
Apa yang dikesalkan, kedua-dua coretan itu disiarkan lewat ruangan ?7 Minit?. Ruangan itu diibaratkan minda pengarang bagi akhbar berkenaan. Ia memuatkan hanya coretan dari editor atau penolong editor edisi negeri-negeri secara bersilih ganti.
Kolum terpenting
Bagi mana-mana akhbar pun, ruangan minda pengarang adalah kolum terpenting. Apa juga dicoret dan dimuatkan di ruangan itu melambangkan midan akhbar yang dibawa mereka.
Dalam konteks ini, apabila dua penolong editor sebuah akhbar yang selama ini dianggap bebas, terbuka dan tidak bias memilih ruangan minda pengarang akhbar mereka untuk membawakan cerita yang sengaja diolah dan dihuraikan bagi menelanjang dan memburukkan PAS, ia bukanlah suatu yang dialu-alukan.
Itu bukan bermaksud para pemimpin, ahli dan pendokong PAS tidak terbuka minda. Mereka boleh menerima kritikan dan teguran, tetapi biarlah dengan cara lebih bertanggungjawab.
Hanya dengan menyajikan kisah yang entah benar atau rekaan sebegitu, ia tidak membantu memberikan nasihat atau teguran yang sihat kepada PAS. Sebaliknya, ia mendedahkan Sinar Harian kepada tanggapan umum bahawa akhbar itu juga berhasrat menjadi tali barut dan alat propaganda BN.
Perlu diingat, akhbar berkenaan diminati dan dilanggani kerana gaya pemberitaannya yang terbuka dan tidak memihak. Ia menyajikan laporan dan ulasan dari persektif berbeza, sekali gus menjadi alternatif terhadap media arus perdana yang pro-BN.
Kita sudah tepu dengan akhbar dan media pengampu BN. Rakyat sudah muak dan terjeluak membaca minda pengarang yang tidak rasional. Justeru, tidak wajar Sinar Harian juga memilih untuk ikut menjadi akhbar sealiran itu. _
No comments:
Post a Comment