sallu alan nabi

sallu alan nabi

Hadis Nabi

Rasulullah SAW berpesan, “Bersegeralah kamu melakukan amalan soleh kerana akan datang kepada umatku di suatu masa, satu fitnah yang begitu besar yang datangnya seperti satu kepingan hitam di malam gelap gelita tak nampak”. Sahabat bertanya, “Apakah fitnah besar itu ya Rasullullah?”. “Fitnah itu adalah kamu akan lihat umatku di hari itu, di waktu itu, pada masa itu, pagi hari Islam, petang kafir. Petang Islam, pagi kafir semula”. Sahabat bertanya lagi, “Mengapa begitu ya Rasullullah?”. Rasullullah SAW menjawab, “sebab dia menjual agamanya dengan nilai dunia”.


Ayat Al Qur'an

A054

Sesungguhnya ini ialah pemberian Kami kepada kamu, pemberian yang tidak akan habis-habis; -

(Saad 38:54)

Ayat Al Qur'an


A020

"Dan sesungguhnya aku telah memohon perlindungan kepada Tuhanku dan Tuhan kamu, daripada kamu merejam (atau menyakiti) daku.

(Ad-Dukhaan 44:20)

Thursday, May 30, 2013

Membelanjakan wang zakat

Hukum zakat taja pengajian hiburan

Ustaz Hamizul Hamid,16 Mei 2013
Hiburan dalam Islam tidak dihalang secara total; namun menyalurkan zakat bagaimana pula?

Soalan: Apakah pelajar yang menuntut dalam jurusan muzik, teater atau seni hiburan di institusi pengajian tinggi, layak menerima bantuan zakat? Mohon pencerahan ustaz.

Jawapan: Terima kasih dengan soalan yang diberikan dan mudah-mudahan juga, jawapan yang cuba disajikan ini mampu mencerahkan sedikit kekeliruan dalam kalangan umat Islam khususnya mengenai status bantuan zakat kepada mereka yang mengambil bidang pengajian yang bercorak hiburan, seperti muzik, seni lakon, teater dan sebagainya, insya-Allah.

Sebelum kita pergi lebih lanjut, suka dimaklumkan bahawa agihan daripada zakat kepada mereka yang belajar selain bidang agama, sememangnya telah dipersetujui oleh fuqaha untuk disalurkan daripada asnaf fisabilillah. Sungguh pun bagi kalangan ulama Hanafiah, mereka menyatakan fisabilillah hanya terbatas dalam konteks peperangan semata-mata; namun bagi kalangan fuqaha yang lain misalnya Syeikh Rayid Ridha, al-Razi, al-Kasani dan sebagainya lagi menyatakan, fisabilillah amat luas pengertiannya dan ia termasuklah sebarang pekerjaan yang natijah akhirnya adalah untuk memelihara kepentingan Islam.

Di Malaysia, Dr Hailani Muji Tahir misalnya turut menyokong pandangan kedua ini dan menegaskan, bahawa tiada satu definisi yang qati’e (putus) mengenai erti fisabilillah, maka pandangan fuqaha bukanlah sesuatu yang wajar dijadikan pembatas dalam memahami maksud fisabilillah berkenaan. Malah, beliau cenderung agar fuqaha kontemporari lebih luwes atau bijaksana dalam meraikan keperluannya yang sebenar.

Atas dasar itulah, maka institusi zakat di negara ini, misalnya Lembaga Zakat Selangor (LZS) amat meraikan keperluan pendidikan untuk umat Islam. Maknanya, perbelanjaan asnaf fisabilillah di Selangor, bukan sekadar membantu membina masjid, surau dan sekolah agama, membaiki dan menaik taraf institusi agama, membiayai guru takmir dan penceramah, membantu NGO atau pertubuhan dakwah serta program-program Islami sahaja, malah dana fisabilillah juga dijana untuk tujuan pendidikan individu yang memerlukan.

Maka, dalam konteks membiayai pendidikan asnaf inilah timbulnya persoalan, adakah dana zakat boleh digunakan bagi membiayai bidang pengajian yang berbentuk seni hiburan. Dalam konteks Malaysia pula, memang ada institusi pengajian yang menawarkan bidang pengajian dalam jurusan seni muzik, seni tari, drama pentas dan sebagainya.

Justeru, demi menjawab apakah wang zakat dapat disalurkan kepada mereka yang mengambil bidang pengajian berasaskan seni hiburan ini, maka terlebih dahulu kita wajar melihat, apakah kedudukan seni hiburan misalnya nyanyian di sisi hukum Islam?

Fuqaha sendiri tidaklah sepakat dalam menghukumkan seni hiburan dalam Islam, sama ada ia haram sepenuhnya atau masih ada yang dilonggarkan. Secara umumnya, fuqaha berpandangan bahawa hiburan di dalam Islam adalah harus hukumnya, melainkan hiburan itu jelas mendatangkan kelalaian dan keburukan ataupun wujudnya unsur-unsur yang haram di dalamnya, maka jadilah ia haram.

Di dalam al-Quran sendiri, memang ada nas atau dalil yang tidak secara tuntas menegah manusia daripada menikmati hiburan, seperti mana diakui oleh firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tidaklah kehidupan dunia ini melainkan mainan (yang sia-sia) dan hiburan yang melalaikan.” (Surah al-An’am: 32).

Berdasarkan dalil di atas, fuqaha berpandangan, memang di atas dunia ini banyak perkara yang berunsurkan hiburan, namun Allah SWT tidak pula menyatakan ia sesuatu yang haram dinikmati. Maka, di sini Allah SWT tidaklah menghalang secara total hiburan dalam Islam, cuma jangan sampai manusia dilalaikan dengan hiburan.

Malah, di dalam banyak hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW sendiri meraikan hiburan, misalnya: “Bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakar masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Nabi SAW berada di sisinya. Ketika itu ada dua penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). (Lalu) Abu Bakar berkata: “Suara syaitan!” (sebanyak dua kali). Nabi SAW (kemudiannya) bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakar! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Berdasarkan keterangan hadis di atas dan ditambah dengan beberapa hadis yang lain, maka ulama menyatakan bahawa ia juga menjadi dalil kepada keharusan hiburan dalam Islam, dengan syarat ia tidaklah sehingga melalaikan.

Namun begitu, ada juga hadis lain yang menyatakan, alatan muzik memang selalunya membawa kepada kelalaian, misalnya: “Apabila umatku melakukan 15 perkara maka mereka layak untuk menerima bala daripada Allah SWT dan di antaranya ialah, apabila penyanyi wanita dan pemuzik-pemuzik disanjung tinggi.” (Mafhum hadis riwayat Imam Termizi)
Oleh itu, dalam menjustifikasikan sama ada sesebuah institusi zakat wajar membantu mereka yang mengambil jurusan hiburan atau tidak, perkara yang perlu dilihat adalah, sama ada bidang hiburan yang ditekuni itu benar-benar merupakan satu keperluan, tidak berpotensi membawa kepada kelalaian dan juga mestilah menepati maksud fisabilillah yang sebenarnya.

Dan, dalam melakukan penilaian inilah, maka amalan di LZS sendiri misalnya, melihat bahawa pengajian dalam bidang hiburan buat masa ini masih belum menjadi suatu keperluan, tidak seperti bidang perubatan, kejuruteraan, ekonomi, perakaunan dan sebagainya. Di samping itu, belajar dalam bidang hiburan juga, biar pun ia boleh membawa kepada kebaikan; namun realitinya di saat ini, kecenderungan dalam dunia hiburan lebih membawa kepada kelalaian.

Malah, berdasarkan kaedah fiqh juga, apabila bertembung antara mafsadah (mudarat) dan manfaat (kebaikan), maka pilihlah yang kurang mafsadahnya (menolak kemudaratan), maka di sini memilih untuk tidak membiayai bidang pengajian hiburan adalah lebih utama daripada membiayainya. Begitu juga, jika dilihat kepada skop keutamaan (aulawiyat), maka mempelajari bidang hiburan juga tidak sampai ke tahap dururiyat (kemestian) dan lebih kepada tahsiniyat (melengkapkan) sahaja, maka atas dasar itu jugalah, mengutamakan bidang pendidikan lain seperti perubatan seharusnya lebih menjadi keutamaan.

Kesimpulannya, sesuai dengan maksud sebuah firman Allah SWT: “Dan ada di antara manusia: (ada) orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) daripada agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan,” (Surah Luqman: 6), maka buat masa ini penajaan zakat kepada bidang pengajian berasaskan bidang hiburan masih belum sesuai dilaksanakan.

Nota: Disediakan oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Eksekutif Komunikasi Korporat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS) dan sebarang kemusykilan zakat sila emailkan kepada 20 Rejab 1434 H | 30 Mei 2013hamizul@e-zakat.com.myThis e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view itatau boleh layari www.e-zakat.com.my; blog.e-zakat.com.my atau www.facebook.com/ LembagaZakatSelangor.MAIS untuk maklumat lanjut.

No comments:

DAA9386

DAA9386

RUMAH IPOH

RUMAH IPOH

8288

8288